Kaedah Memancing
Pancing Pantai
1. Umpan untuk kegunaan memancing di pantai boleh disenaraikan seperti berikut:
i) Udang segar (hidup lebih baik).
ii) Perumpum sarang/pantai.
iii) Hirisan ikan (kembung, selar, selayang).
iv) Sotong pasar (cumit sesuai).
v) Sotong kurita.
vi) Anak ikan belanak.
vii) Ikan muara seperti beliak mata, selangat, bilis air, bulu ayam, rencang rebung dan kasai.
viii) Ketam angin/anak ketam batu.
ix) Roti untuk umpan belanak besar.
x) Roti canai/daging ayam untuk ikan kuku.
xi) Siput, kerang, kupang dan isi cengkerang lain.
2. Saiz batu ladung boleh menentukan jarak baling. Tetapi pastikan batu yang digunakan dapat ditampung oleh hujung joran ketika lontaran dibuat. Jika tidak, hujung joran mudah patah ketika permulaan lontaran. Saiz batu juga boleh ditentukan melalui keadaan pasang surut serta permukaan. Bermula nombor 8 hingga 12 adalah saiz yang lumrah digunakan pemancing pantai. Pilih batu jenis lonjong memanjang supaya ia kurang memberi rintangan angin dan arus.
3. Perambut mulakan dengan 20 hingga 60 paun bergantung kepada kekuatan tali utama, saiz mata kail, kapasiti kekili dan kekuatan joran yang digunakan. Pilih warna cerah dengan panjang perambut antara 1 hingga 2 kaki. Kalau memancing ikan bebulus di pantai perambut setengah kaki dengan kekuatan 12 paun amat sesuai.
4. Kunjungi pantai ketika keadaan air yang kurang gelombang dan berangin. Pastikan tiada hujan sebelum kunjungan dan air yang hampir jernih (jika air terlalu jernih, ikan biasanya kurang galak memakan umpan).
5. Waktu terbaik ialah ketika air pasang penuh. Ketika itu, ikan akan merapat ke pantai. Pada sebelah malam pula, ikan lebih efektif daripada siang. Secara ringkas waktu paling sesuai ialah lewat petang hingga sebelum fajar. Terbaik ialah lepas solat Maghrib hingga sebelum habis waktu Subuh. Sebagai tambahan, menggunakan joran panjang tidak kurang 10 kaki (3.5 meter) adalah satu kelebihan. Kekili jenis terbuka dan gegendung jenis panjang sesuai jika pemancing berhajat membuat lontaran lebih jauh.
Memancing di batu karang.
MEMANCING di tepian berbatu karang adalah kawasan berpotensi menjinakkan ikan juga paling kerap kail tersangkut. Batu atau karang di situ menjadi kegemaran ikan berlindung dan memburu mangsa. Namun begitu, ia mendatangkan masalah kepada pemancing lebih-lebih lagi jika kita memancing dari tebing atau pantai. Masalah sangkut adalah lumrah di kawasan sebegini lebih-lebih lagi jika memancing dasar. Ia hampir tidak dapat dielakkan sepenuhnya jika kawasan batu itu ada karang dan teritip. Walaupun tiada jalan penyelesaian mutlak, pemancing boleh mengamalkan beberapa teknik bagi menewaskan ikan batu karang, antaranya:
Teknik tanpa pemberat (ladung), juga sesuai jika kawasan itu lemah arusnya atau arus menolak ke arah laut. Umpan seperti isi ikan dipasang terus hingga menutupi seluruh mata kail dan di lontar ke sasaran. Umpan akan mengambil masa untuk sampai ke dasar. Ketika menjunam, umpan menjadi sasaran ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika ada tanda sambaran yang biasanya berlaku pertengahan air dan kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum.
Teknik menggunakan pelampung memerlukan pemancing bijak menentukan kedalaman air setempat. Untuk teknik ini jika umpan dapat dilabuhkan kira-kira 0.5 hingga 2 meter dari dasar potensi sambaran adalah tinggi. Jika terlalu rendah atau jauh ke dasar kemungkinan sangkut pada karang.
Memancing Ikan Sembilang
1. Sembilang adalah antara spesies ikan yang dietnya beraneka jenis. Tidak kira umpan hidup, mati dan umpan bercengkerang turut tergolong dalam diet sembilang. Malah umpan busuk seperti sotong mati, udang mati yang merah kulitnya juga boleh dibuat umpan jika ada pemancing sanggup menahan baunya.
Memancing sembilang di dasar berselut amat sesuai berumpan perumpun yang merah badannya. Perumpun amat digemari sembilang kerana ia adalah haiwan yang turut mendiami dasar berselut. Jadi sembilang yang meronda di dasar turut memburu perumpun sebagai makanan. Masalah utama jika menggunakan perumpun ialah anak ikan turut sama menggerutu umpan itu sebelum dijumpai sembilang.
Umpan seperti udang hidup, sotong dan isi ikan akan mengalami masalah yang sama, habis sebelum semilang menjumpai umpan berkenaan. Masalah umpan dikacau anak ikan lain boleh diatasi dengan menggunakan umpan lintah sungai. Haiwan ini diketahui hanya sembilang saja yang menelannya. Sekiranya kawasan berkenaan tiada gangguan anak ikan, perumpun urat atau sarang adalah yang terbaik.
Salam
ReplyDelete